SERAMAI 25 penghuni termasuk dua pengajar terselamat apabila sebuah asrama lelaki di tingkat dua Pusat Pengajian dan Tahfiz Nur Al-Quran, Rantau Panjang, Klang, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mereka dikatakan berada di kelas di tingkat bawah namun sempat menyelamatkan diri selepas terdengar jeritan kuat dan terhidu bau asap.

Pelajar, Ahmad Sudais Noor Azmi, 16, berkata ketika kejadian dia dan rakan lain sedang berada di dalam kelas untuk subjek pengajian Al-Quran.

“Memang kami ada bau asap tetapi ingatkan bau sampah yang jiran bakar berdekatan rumah. Namun, tiba-tiba ada jeritan daripada luar mengatakan ‘api,’api’, ‘api.

“Kami cuba naik memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api namun gagal dan segera keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

Menurutnya, jiran berdekatan turut membantu mengeluarkan beberapa tong gas yang diletakkan di dapur pusat tahfiz itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Atan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, kami mendapati api sudah marak dan segera menjalankan operasi pemadaman. Api berjaya dipadamkan kira-kira 10 minit kemudian.

“Siasatan awal mendapati kebakaran pusat tahfiz berkeluasan 150 meter persegi ini membabitkan empat bilik yang menempatkan asrama pelajar lelaki,” katanya.

Menurutnya, api merebak dengan cepat berikutan bahan mudah terbakar seperti tilam dan kain di semua bilik terbabit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih disiasat,” katanya sambil memaklumkan semua penghuni berusia antara 10 hingga 19 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:59 PM

mymetro