Sejak program realiti popular GegarVaganza (GV) ditayangkan, pelbagai cerita, ragam dan kontroversi telah timbul.

Sama ada suka atau tidak, bintang GV terpaksa berhadapan dengan pelbagai kisah panas termasuklah kecaman yang dilemparkan terhadap mereka.

Antara nama-nama besar yang terpalit dengan kontroversi adalah Ifa Raziah (GV1), Azian Mazwan Sapuwan (GV2), Zur Eda (GV3), Azharina (GV3) dan Elly Mazlein (GV3).

Penangan hebat GV juga menyaksikan penguasaan pengaruh media sosial yang memberi impak luar biasa untuk sesuatu isu.

Selain bintang GV, pengacara dan juri program juga tidak terlepas dari menjadi subjek bualan netizen.

Kami senaraikan beberapa kontroversi hangat yang berlaku sepanjang GV bersiaran.

Aksi ‘Berani Mati’ Ifa Raziah Menari Peluk Hisyam Hamid

Nama Ifa Raziah tiba-tiba menjadi hangat susulan aksi menari dan berpelukan dengan aktor Hisyam Hamid ketika menyampaikan lagu berjudul Matahariku.

Insiden yang berlaku ketika persembahan peringkat akhir GV 1 itu juga menyebabkan Ifa dikecam hebat oleh netizen.

Malah, Datuk Rosyam Nor selaku juri juga menyifatkan persembahan itu kurang sesuai untuk tatapan umum.

Azian Mazwan Sapuwan Terpalit Dakwaan Anak Terlibat Kes Kecurian Motor

Anak kepada bintang GV 2, Azian Mazwan Sapuwan didakwa terlibat dengan kes kecurian motor pada Disember 2015.

Bagaimanapun, Azian tidak cepat melatah dan memberitahu anaknya sudah mengakui kesilapan dan tersalah memilih rakan.

Dakwaan Elly Mazlein Bermasam Muka Dengan Azharina

Menerusi sebuah ruangan gosip, Elly Mazlein didakwa telah memetik nama Azharina ketika semua peserta GV 3 berkumpul untuk diberikan penerangan membabitkan konsep pertandingan tersebut.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh juara GV 3, Azharina Azhar yang menyifatkan dakwaan tersebut bukanlah satu isu besar.

Azaharina juga berpendapat isu itu sengaja ditimbulkan untuk menghangatkan pertandingan.

Kontroversi Foto Zur Eda, Digelar Hantu Kak Limah

Gambar sesi fotografi 12 peserta GegarVaganza 3 (GV 3) telah tersebar dan menjadi viral di laman sosial sehingga banyak pihak yang memberikan komen negatif selepas melihat hasil gambar tersebut.

Foto-foto tersebut masih belum menjalani proses suntingan (edit) dan telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Zur Eda merupakan antara bintang yang teruk menerima kritikan sehingga digelar hantu Kak Limah oleh netizen.

Elly Mazlein vs Azmi Hatta, Faye Kusairi

Nama Elly Mazlein atau kini lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom boleh dikatakan antara yang terhangat kerana kronologi kontroversi bekas peserta Gegar Vaganza 3 (GV 3) ini melibatkan bekas suami, Azmi Hatta, dan juga isterinya pelakon Faye Kusairi.

Kisah penceraian Elly dan Azmi serta kewujudan Faye yang didakwa sebagai pihak ketiga dalam rumah tangga penyanyi Bungaku Bakawali itu mengundang rasa simpati ramai netizen.

BACA: AZMI HATTA & FAYE KUSAIRI BAGAI PINANG DIBELAH KAPAK- ELLY MAZLEIN

BACA: BERJAYA TUNTUT NAFKAH ANAK, ELLY ENGGAN LAYAN ISU AZMI & FAYE

Elly Mazlein Tarik Diri, Kecil Hati Dengan Tok Ram

Konsert keempat GegarVaganza 3 (GV 3) menyaksikan pengacara Jihan Muse dan Nabil Ahmad mengumumkan nama penyanyi Elly Mazlein sebagai bintang GV 3 yang tersingkir.

Di sebalik penyingkiran tersebut, Elly yang menyampaikan lagu Jangan Menangis Sayang telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada GV 3 kerana terasa hati dengan komen juri tetap, Datuk Ramli MS.

Menerima markah terendah berbanding sembilan bintang GV 3 yang lain, Datuk Ramli atau Tok Ram memberikan komen yang mengaitkan Elly dengan belas kasihan.