Jika kita imbau semula zaman 90an, kumpulan nasyid ini memang popular. Lama tak dengar perkembangan kumpulan Brothers. Terbaru mereka telah memfailkan saman terhadap penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu, Kay Event Management & Services setelah pihak tersebut didakwa gagal menjelaskan baki bayaran persembahan kumpulan itu sebanyak RM37,500.

Vokalis untuk kumpulan Brothers juga komposer popular, Yasin Sulaiman berkata, pihaknya memfailkan saman tersebut pada 18 September lepas di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas pihak defendan tidak menghiraukan notis tuntutan yang dihantar pada 28 Julai lepas.

Jelas Yasin, pihaknya hanya menerima bayaran RM12,500 dua bulan sebelum konsert iaitu suku daripada jumlah keseluruhan bayaran persembahan konsert tersebut bernilai RM50,000.

Konsert 3 Kejora Bersatu yang berlangsung pada 7 dan 8 Oktober tahun lepas turut menampilkan kumpulan nasyid, Hijjaz dan Rabbani di Istana Budaya.

Tambah Yasin, pihaknya sering kali bertanyakan soal bayaran kepada pihak penganjur tetapi ada sahaja alasan yang diberikan.

Jelasnya lagi, tindakan ini bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya mahu pihak penganjur bertanggungjawab dan amanah terhadap janji mereka.

“Kali terakhir kami berhubung dengan pihak penganjur adalah pada dua bulan lepas menerusi aplikasi Whatsapp. Selepas itu, pihak tersebut terus menghilangkan diri.

Yassin turut memberitahu telah menandatangin surat perjanjian untuk konsert itu pada 27 Jun 2016 dan sepatutnya menerima bayaran pendahuluan RM25,000 tetapi hanya menerima separuh daripada jumlah itu.