Bermula 19 Oktober ini, filem seram gabungan 3 negara, Malaysia, Thailand dan China berjudul Haunted Hotel akan mula menemui penonton di pawagam berdekatan. Membariskan pelakon – pelakon terkenal seperti Sushar Manaying (Thailand), Leon Li Chuan (China), Teddy Chin, Alvin Chong dan Nadia Aqilah filem ini pastinya membuatkan bulu roma anda meremang.

Penggambaran Di Sebuah Hotel Paling Seram Di Asia

Jika bercakap mengenai hotel seram di Malaysia, ramai yang akan bercakap mengenai Amber Court, Genting Highland. Tidak hairanlah pengarah filem ini, Ryon Lee memilih Amber Court sebagai fokus utama filem ini kerana ianya begitu terkenal di China. Tambah beliau, terdapat pelancong di sana yang ingin datang ke Malaysia semata -mata ingin melihat dan merasai sendiri pengalaman berada di Amber Court.

Ryon Lee Kongsi Pengalaman Dicakar di Amber Court

Sepanjang penggambaran di Amber, krew produksi filem ini juga telah diganggu oleh makhluk halus.

Antaranya Lee sempat berkongsi pengalaman apabila terdapat kesan darah di belakang badannya yang dipercayai makhuk yang menghuni di situ. Malah tidak kurang juga ada yang melihat kelibat manusia separuh badan di balkoni salah sebuah bilik di Amber Court.

Berdasarkan Kisah Benar

Bagi mendapatkan jalan cerita yang terbaik, filem Haunted Hotel ini telah diangkat dari cerita yang sebenar. Malah bilik yang dikatakan milik seorang penghuni yang membunuh diri tidak lama dahulu, turut diselitkan dalam penggambaran filem ini.

Kisah Seram Amber Court

Filem ini mengisahkan mengenai seorang gadis dari China yang bernama Ling datang ke Malaysia bersama teman lelakinya atas urusan kerja. Dalam masa yang sama, merak terpaksa menginap di sebuah hotel yang berhantu.

Sejak menginap disitu, pelbagai kejadian misteri yang telah menganggu mereka sehingga terbongkarnya satu rahsia yang merungkai segala-galanya. Buat anda yang ingin tahu dan melihat sendiri kisah seram Amber Court, bolehlah menonton filem Haunted Hotel yang akan berada di pawagam berhampiran tidak lama lagi