JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja menerusi satu Percanangan Dalam (pengumuman) hari ini, mengumumkan yang Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, menyambut keputeraan seorang putera yang juga waris kepada takhta Kerajaan Johor.

Pengumuman Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli itu dimuat naik dalam laman rasmi Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

“Jumaah Majlis Diraja sukacita, mengumumkan keputeraan seorang waris takhta kerajaan negeri Johor pada hari ini,” katanya dalam pengumuman berkenaan.

Dalam kenyataan yang turut dimuat naik dalam laman web itu, memaklumkan Che Puan Khaleeda selamat melahirkan seorang putera di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan waktu kelahiran ahli baharu keluarga Diraja itu.

Pada Jun tahun lalu, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda, menyambut kelahiran puteri sulung yang diberi nama Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kerajaan Johor merakamkan ucapan tahniah kepada pasangan Diraja itu di atas keputeraan anakanda kedua mereka.

Beliau berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, kerana sekali lagi menerima keputeraan cucunda.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tunku Ismail dan Che’ Puan Khaleeda di atas keputeraan anakanda kedua baginda iaitu seorang putera pada 14 Oktober 2017 bersamaan 23 Muharram 1439H.

“Semoga baginda putera sentiasa dilimpahi dan diberikan kesihatan serta perlindungan dariNya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.