9 ‘dra­gon’ itu juga didakwa mem­punyai ‘kuasa’ dalam agensi pe­nguat kuasa negara selain mampu menukarkan penguatkuasa dirasakan menggugat kegiatan mereka dalam 24 jam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri meminta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kemukakan bukti dakwaan kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didalangi oleh 9 ketua digelar “dra­gon” selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti dakwaan itu benar.
“Saya minta badan bukan kerajaan seperti ini membuat laporan polis. Saya bimbang akan keselamatan mereka sekiranya benar dakwaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan mengenai pendedahan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan itu yang turut mendakwa kegiatan tersebut wujud sejak bertahun lamanya.
Nadzim turut mendakwa 9 “dra­gon” itu mem­punyai “kuasa” dalam agensi pe­nguat kuasa di negara selain mampu me­nu­karkan penguatkuasa yang dirasakan menggugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Jangan terlalu ghairah dedah kegiatan kongsi gelap, KDN nasihat NGO

 

JOHOR BAHRU: Badan bukan kerajaan (NGO) dinasihati agar tidak terlalu ghairah dalam membuat pendedahan berhubung kegiatan kongsi gelap kepada umum bagi mengelak keselamatan diri diancam.
Sebaliknya kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, mereka perlu menyalurkan maklumat itu berserta bukti kepada polis atau kepada beliau sendiri untuk tindakan lanjut.
“NGO-NGO jangan terlalu ghairah untuk mendapatkan ‘mileage’ politik semata-mata untuk buat apa-apa tuduhan, nanti keselamatan mereka sendiri terancam.
“Kegiatan kongsi gelap ini, mereka mempunyai jaringan dan pengaruh begitu besar sampai boleh mengancam nyawa dan sebagainya, jadi jangan kita ambil ringan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas program bersarapan bersama penduduk Taman Kobena, di sini hari ini.

 

 

 

Beliau mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa kegiatan judi dan jenayah lain di negara ini didalangi 9 ketua atau ‘dragon’, baru-baru ini.
PPIM turut mendakwa menerima ancaman daripada sindiket jenayah terbabit setelah maklumat mereka didedahkan oleh persatuan itu.
Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata masalah kongsi gelap berlaku di mana-mana sahaja dan dalam konteks negara ini kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat secara berterusan.

“Soalnya sekarang, banyak NGO buat tuduhan dan tidak kemukakan apa-apa bukti pun sama ada sahih atau tidak. Kalau sahih sekalipun, saya nasihatkan NGO supaya berhati-hati kerana keselamatan diri mereka boleh terancam kerana mendedahkan aktiviti itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, Nur Jazlan berharap kerajaan dapat menimbang untuk meningkatkan peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memantapkan penguatkuasaan termasuk menambah pegawai penguat kuasa.
Katanya, perkara itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ditimbangkan.

“KDN terlibat dalam penguatkuasaan dan perkara ini yang disebut rakyat sebagai satu kelemahan. Ini memerlukan tambahan pegawai penguatkuasaan, teknologi dan kos penguatkuasaan kerana setiap kali penguatkuasaan dijalankan, ia akan melibatkan kos peralatan, kenderaan, kerja lebih masa dan lain-lain,” katanya.

2 aktivis PPIM didakwa khianat, ceroboh kedai pajak

 

KAJANG: Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Ali Salimin didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas 2 pertuduhan melakukan khianat dan menceroboh sebuah stor kereta, Julai lepas.
Kedua-dua aktivis itu mengaku tidak bersalah selepas 2 pertuduhan ke atas mereka dibacakan di depan Majistret Nor Afidah Idris.
Bagi pertuduhan pertama, Yusof yang lebih dikenali sebagai Yusof Azmi, 27, dan Ali yang dikenali sebagai Abang Ali, 50, didakwa dengan niat bersama bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, yang mana kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan bersama.

Yusof yang memakai baju kurta berwarna hitam dan Ali yang berbaju Melayu hijau dituduh melakukan kesalahan itu di Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, pada 3.30 petang, 10 Julai lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya turut didakwa dengan niat bersama bersubahat melakukan pencerobohan jenayah antara 3.30 petang dan 7.30 malam, di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk 2 pertuduhan itu.

Peguam, Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan kedua-dua anak guamnya tiada sebab melarikan diri kerana mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan seterusnya ke Mahkamah Kajang untuk didakwa hari ini.
Peguam itu turut memberitahu kedua-dua anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga, iaitu Yusof yang bekerja sebagai peniaga mempunyai 6 anak, manakala Ali yang merupakan seorang jurulatih gimnasium mempunyai seorang anak.

Nor Afidah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, pada jam 7.30 pagi tadi, Yusof dan Ali menyerah diri di IPD Kajang untuk diambil keterangan dan dibawa ke Mahkamah Kajang untuk didakwa kira-kira 9.30 pagi.

Kira-kira 150 penyokong PPIM hadir mengikuti prosiding di mahkamah hari ini dan sejurus selepas pendakwaan selesai, semua penyokong membaca doa dan melaungkan “Takbir! Allahuakbar”.

 

Berita Selanjut nya.

9 DRAGON: Saya Maafkan Kamu, Tetapi Kamu Jawablah Nanti – Yusof Azmi

 

Kita mesti teruskan perjuangan. Saya ingin maklumkan kepada semua pengguna di Malaysia yang di luar sana, terima kasih banyak-banyak kerana solat hajat dan sebagainya, yang mendoakan kebaikan untuk kita, negara, rakyat dan sebagainya.

Saya tidak akan berundur walaupun apa masalahnya.” Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi semasa memberikan kenyataan selepas dibebaskan sebentar tadi.

Beliau yang pada awalnya mengatakan bakal didakwa di bawah Seksyen 427/447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibebaskan dengan ikat jamin RM 5,000.00 setiap orang bersama seorang lagi aktivis PPIM, Abang Ali.

Penahanan mereka berikutan tuduhan menceroboh ke premis yang terpalit dengan kontroversi melibatkan isu kereta pengguna yang dijadikan kereta sewa.

Dalam video penjelasan yang dimuatnaik oleh Yusuf Azmi semalam, beliau menjelaskan bahawa kejadian pada 10 Julai lalu, beliau bersama aktivis pengguna dan pemilik kenderaan menyerbu syarikat AGR untuk mengambil semula kereta yang diserahkan para pemilik kereta kepada syarikat tersebut untuk dijadikan kereta sewa.

Pemilik kenderaan mendakwa mereka hanya mendapat bayaran pada bulan pertama sahaja, dan mengambil keputusan untuk melaporkan kepada PPIM berhubung penipuan itu.

Kedua-dua pihak kemudian mencapai persetujuan dengan AGR menyerahkan lima kenderaan dan 53 kunci kereta kepada PPIM selepas aktivis pengguna dan pemilik berkumpul sekali lagi di hadapan pejabat syarikat itu di Kajang.

Berkenaan tuduhan bahawa beliau bersama aktivis PPIM lain menceroboh premis tersebut, Yusuf Azmi menjelaskan semua pihak perlu faham bahawa pemilik sebenar tanah di premis tersebut tidak pernah membuat laporan polis terhadapnya atas tuduhan menceroboh.

“…. yang boleh membuat laporan terhadap saya ialah pemilik tanah… pemilik tanah bukanlah syarikat AGR dan syarikat AGR juga tidak kena mengena dengan pemilik tanah. Dan pemilik tanah.. sepuluh pemilik tanah dalam isu AGR ini, ada 10 penama pemilik tanah dan sepuluh-sepuluh penama ini membuat laporan polis ke atas AGR. Bukan ke atas saya.”

“Sekarang ini pemilik tanah sewakan kepada satu syarikat iaitu syarikat Wong, dan syarikat Wong ini tidak ada, tidak membuat laporan terhadap saya. Dia memberi sewa kepada AGR. Kalau ikut, perjanjian itu void, invalid.

Saya tanya kepada polis macam mana nak tuduh saya? Dia kata, sebab AGR buat laporan menyatakan saya menceroboh.” Yusuf Azmi dalam kenyataan yang divideokan selepas bebas sebentar tadi menjelaskan bahawa dia memaafkan perlakuan pihak tertentu yang telah menyebabkan beliau dan Abang Ali menghadapi situasi tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa pihak tertentu yang beliau maksudkan bukanlah dari pihak Polis Di Raja Malaysia. “Saya redha dengan apa yang berlaku, cuma, saya nak memberitahu, memberi maklum kepada orang yang melakukan sebegini kepada saya dan Abang Ali.

Ini perkara yang kamu kena ingat dan kamu kena faham dan dengar dengan jelas apa yang ingin saya sampaikan… dengan saya hari ini kamu boleh lakukan sebegini di muka bumi Allah.

Kamu harus tahu yang mentadbir muka bumi ini ialah Allah SWT dan saya ingin beritahu, saya maafkan kamu. Cuma saya nak beritahu, kamu akan dipertanggungjawabkan di Yaumal Qiyamah.”

 

[Video] Bekas KPN Pula Dedahkan Siapa “9 Dragon”

 

MASIH lagi hangat dengan cerita kongsi gelap 9 Dragons Malaysia susulan pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini.

Semalam MiLo SuaM ada menyiarkan kembali kenyataan bersumpah seorang pegawai polis berpangkat ASP yang menceritakan bagaimana “tangan ghaib” mengawal PDRM di Johor.

Kali ini, kita siarkan pula pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara (KPN) tentang isu hubungan antara kumpulan “underground” (kongsi gelap) dengan pihak polis.

Dalam satu wawancara, Tan Sri Musa menceritakan kembali kisah bagaimana semasa beliau menjawat jawatan sebagai CPO Johor (Ketua Polis Johor), beliau telah mengarahkan ketua-ketua kongsi gelap di negeri itu ditahan.

Tindakan itu menyebabkan ramai ketua-ketua kongsi gelap melarikan diri ke luar negara.

Oleh itu beliau telah mengarahkan pihak polis pada waktu itu untuk membuat satu senarai tangkapan. Jika ketua-ketua kongsi gelap ini pulang ke negara ini, mereka akan segera ditangkap.

“Saya mengarahkan pegawai-pegawai saya pada masa itu, buat satu senarai, bila mereka balik tangkap, mereka ini terlibat dengan pelacuran, terlibat dengan dadah, terlibat dengan macam-macam (aktiviti haram),” katanya.

Tindakan tegas itu katanya telah menimbulkan kemarahan pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan kegiatan haram.

“Apabila saya buat begitu, banyak pihak-pihak ataupun kumpulan-kumpulan, yang terlibat dengan kegiatan haram, (jadi) marah.”

“Jadi oleh sebab itu apabila saya tegas sangat di sana, mereka yang atas ni dah ‘complaint’ terutama sekali memberitahu kepada IGP (Ketua Polis Negara) terdahulu, memberitahu saya ni pasal apa mengambil tindakan-tindakan begini,”

“Pasal apa you tak ‘control’ CPO (Ketua Polis),” katanya.

Ahli politik pun bela kongsi gelap

 

Tan Sri Musa turut mendedahkan, ada ahli politik tertentu yang datang ke pejabatnya, tidak berpuas hati apabila ketua-ketua kongsi gelap yang ditahan adalah rakan-rakannya.

Katanya lagi, hubungan kongsi gelap dengan pegawai-pegawai polis dan ahli politik memang sudah lama wujud.

“Bila saya mengambil tindakan terhadap kumpulan ‘underground’ (kongsi gelap) ini, memang terlibat dengan kawan-kawan mereka, termasuk pegawai polis atau pun orang politik, mereka dah lama wujud,” dedahnya.

Katanya lagi, mereka (ahli politik dan pegawai polis terlibat) ini menjadi marah kerana habuan yang disebutnya sebagai “duit extra” (duit haram) mereka terjejas.

Dedahnya lagi, kumpulan kongsi gelap ini mampu mengawal ahli politik dan pegawai polis kerana mereka menjalankan aktiviti haram seperti dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia, dan pengubahan wang haram.

Justeru mereka tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan menyebabkan mereka mempunyai dana yang besar untuk mengawal individu-individu yang disebutkan di atas.