Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Muar Johor hari ini atas tuduhan membunuh suaminya, 14 Oktober lalu.
Juvana itu didakwa membunuh suaminya, Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah beralamat No 130 A, Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira 1.30 petang.
Terdahulu, pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top, dalam prosiding secara tertutup.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati
mandatori jika sabit kesalahan.
Amalina kemudiannya menetapkan 23 November ini sebagai tarikh semula sebutan kes bagi menunggu laporan psikatirik tertuduh.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Eberita