KUANTAN: Sepasang suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini bagi kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan merantai lehernya pada tong gas di kediamannya di Indera Mahkota, Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan Timbalan Pendakwaraya, Shahrul Ekhsan Hassim di hadapan hakim, Datuk Unaizah Mohd.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pertama, Mohd Farid Fikri Mohamad, 32 , dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 1 pagi hingga 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu dengan menganiaya kanak-kanak berusia 10 tahun di bawah jagaan mereka dengan cara merantai leher dengan rantai besi pada tong gas.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa antara jam 8 pagi hingga jam 10.30 malam, 31 September hingga 4 Oktober lalu melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama membiarkan mangsa tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.

Untuk pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua tertuduh diwakili peguam, Noor Svetlana Mohd Noordin yang kemudian meminta kes dibicarakan.

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan untuk setiap tertuduh dan sebutan semula pada 9 Januari tahun depan.

Terdahulu, dilaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri serta lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota.

Dan pada 8 November lalu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuantan (MBKK) menetapkan kanak-kanak tersebut akan kekal tinggal bersama bapa kandungnya di Melaka, selepas tempoh penjagaan sementara selama sebulan berakhir.